Sinar Secebis Harapan

| | 0 comments


"Alhamdulillah."

Hanya itu yang mampu diucapkan oleh jejaka muda tersebut. Syukur dan lega. Itulah perasaan yang mula menapak dalam dirinya kini. Langit luas yang gemilang itu ditatapnya puas-puas. Tidak pernah dia melihat langit sebiru itu sepanjang 23 tahun dia bernafas di bumi milik Allah ini. Langit pada hari inilah yang paling biru dan paling cerah pada matanya. Maha Besar Allah yang menciptakan segala yang ada di langit mahupun di bumi.


Kembalinya dia kali ini untuk membawa sebuah perubahan besar kepada seluruh ahli keluarganya. Pulangnya kali ini adalah untuk yang terakhir kalinya. Sudah tidak mungkin ada lagi kepulangan untuk kali kedua, ketiga, mahupun yang seterusnya. Itulah yang terakhir dan itulah azamnya. Dipahatkan sekukuhnya di dalam hatinya yang kini sudah diperbaharui.


Setiap langkah anak muda itu menarik perhatian seluruh mata yang kini tertumpu kepadanya. Ada yang sudah mula berbisik-bisik sesama sendiri. Ada juga yang memandangnya dengan penuh rasa dendam dan jijik. Namun, pemuda tinggi tersebut masih berjalan seperti biasa. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.


"Hai orang-orang kampung! Lihatlah siapa yang datang. Dia sudah kembali. Superman sudah kembali!" Riuh sekali suara Pak Mail menyambut kepulangan Syazwan. Berderai tawa orang-orang kampung yang sedang melepak di warungnya apabila nama Superman itu timbul kembali.


Syazwan hanya tersenyum hambar. Sedikit tercuit hatinya tatkala mengenangkan kisah Superman itu. Memori pahit yang telah banyak mengubah dirinya itu masih segar lagi di ingatannya. Masih dia ingat suatu ketika dahulu bagaimana nyawanya hampir sahaja melayang apabila dia terjun daripada bangunan lima tingkat itu. Bangunan yang tertinggi sekali di kampung itu. Apa puncanya? Ketagihan. Itulah puncanya.


Syazwan memang cukup dikenali di kampung itu. Bukan sahaja di kampung itu, malah di kampung seberang juga. Di bandar juga namanya sudah mula naik. Gelaran 'Penagih tegar' sudah sah menjadi miliknya apabila berkali-kali dia kembali ke pusat serenti yang sama. Hampir saja Syazwan dihalau kerana para pekerja di pusat itu sudah bosan melihat muka yang sama setiap kali, tetapi kali ini Syazwan sudah benar-benar berubah. Duduk di pusat serenti yang sama dan hidup dengan rutin yang sama selama bertahun-tahun benar-benar membuatkan dia serik.


Sungguhpun begitu, dia tetap bersyukur kerana baginya, jejaka yang terpilih untuk masuk ke pusat itu adalah insan yang bertuah. Insan yang dikasihi Allah, kerana kasihnya Allah pada dialah dia dimasukkan ke pusat itu berkali-kali. Dihantarkan dirinya ke tempat itu berkali-kali bukan di atas alasan yang sia-sia. Dia dihantar ke tempat itu untuk mengubah diri. Untuk memperbaharui hati, untuk memperbaharui Iman, untuk memperbaharui segala-galanya.


Di pusat itu, Syazwan diajar bermacam-macam perkara. Dia belajar bertukang, dia belajar menjahit, dia belajar segala-galanya. Apa yang paling penting ialah dia belajar mengenali dirinya. Dia belajar mengenali agamanya. Dia belajar mengenali Penciptanya. Dia belajar mengenali Allah. Allah yang sungguh mengasihi insan-insan bertuah sepertinya.


"Assalamualaikum..." ucapan lembut itu diiringi oleh senyuman manis yang mula menguntum di bibirnya.


"Waalaikumussalam..." salam yang dihulurkan oleh pemuda itu disambut beramai-ramai. Seolah-olah sedikit menyindir nadanya. Namun begitu, Syazwan tetap tersenyum mesra. Dia bukan Syazwan yang dahulu lagi. Dia bukan lagi Syazwan yang ego dan pemarah. Dia kini sudah menjadi insan yang serba baru. Dia kini lebih penyabar, Allah sentiasa ada di hatinya.


"Hai Wan... hidup lagi kau rupanya. Alhamdulillah... nasib baik kau tak mati waktu kau nak terbang hari tu. Aku dah cakap. Kalau ilmu tak cukup, jangan cuba nak terbang. Patutnya, dadah tu, kau sedut banyak-banyak. Baru ada kick. Baru dapat terbang, taklah jatuh macam hari tu."


Berderai lagi tawa orang kampung apabila Pak Mail sudah mula membuat lawak tidak masuk akal yang sedikit sebanyak menyinggung hati Syazwan. Syazwan hanya mampu beristighfar panjang. Dia cuba untuk terus bersabar. Dia sudah dapat melihat Syaitan-Syaitan di sekelilingnya yang bersedia untuk menarik kesabaran itu bila-bila masa sahaja. Cepat-cepat dia mengingati Allah. Jangan sampai dia hilang sabar lagi kali ini.


"Assalamualaikum Ustaz. Lama dah tak jumpa Ustaz." Perlahan Syazwan menegur Ustaz Zamri yang sedari tadi hanya mendiamkan diri. Sesekali dia tersenyum.


"Waalaikumsalam... duduklah dulu Wan." Ustaz Zamri mempelawa Syazwan dengan penuh sopan dan hormat. Status Syazwan sebagai bekas penagih, langsung tidak mengubah sikapnya terhadap Syazwan. Syazwan tetap mendapat tempat yang istimewa di hatinya. Entah mengapa, tetapi, itulah hakikatnya. Dia begitu sayang akan anak muda itu. Kasih yang dihadirkan Allah ke dalam hati tua itulah yang membantu Syazwan untuk terus hidup dan bertahan sehingga ke hari ini.


Syazwan melabuhkan punggungnya di sisi Ustaz Zamri. Tangan tua itu disalami kemudian diciumnya. Direnungnya wajah suci yang sudah dimamah usia itu. Selama ini, wajah itulah yang selalu ada di sisinya di saat dia benar-benar tersiksa. Wajah itulah yang seringkali dia lihat ada di sisinya di saat dia tersedar daripada kemabukan. Wajah itu, wajah yang tidak pernah dia lupakan di saat dia berada di pusat tersebut. Sungguh dia kasih akan pemilik wajah itu.


"Apa lagi kali ni, Wan? Datang untuk kembali lagi ke tempat tu? Atau datang untuk terus tinggal di kampung ni?" Sedikit keras nada Ustaz Zamri kali ini. Syazwan hanya terdiam. Dia tidak hairan jika Ustaz Zamri marah akannya. Ustaz Zamri sudah banyak menanggung susah kerananya dahulu.


"Aku bukan nak marahkan kau, Wan. Aku ni, dah lama jaga kau. Sejak bapak kau dah tak ada lagi. Aku sayang dengan kau macam aku sayang dengan anak aku sendiri. Anak aku si Rosyam tu. Dah lama pergi tinggalkan aku. Kau sajalah anak yang aku ada sekarang ni. Pulangnya kau kali ni, aku harap untuk selamanya." Nada keras tadi mula kedengaran sedikit kendur.


"Ustaz, Wan dah taubat. Wan dah tak nak ambil benda tu lagi. Wan dah tahu macam mana siksanya dan Wan dah betul-betul serik. Wan janji, Wan janji pada Ustaz, lepas ni Wan takkan dekati benda tu lagi. Wan janji!"


Di dalam kesedihan itu, ada kesungguhan yang meyakinkan Ustaz Zamri akan janji yang diucapkan oleh Syazwan yang telah dia anggap seperti anaknya sendiri. Ustaz Zamri menepuk perlahan bahu Syazwan tanda kepercayaan serta keyakinannya terhadap setiap ucapan yang keluar dari mulut anak muda itu.


"Hei Wan! Kau nampak tak longkang besar kat depan tu? Nampak? Kau ambil janji kau tu tadi, lepas tu kau humban kat dalam longkang tu. Longkang jijik macam tu lah tempat yang paling sesuai untuk janji orang macam kau ni! Tak boleh pakai sikit pun!" Keras sekali suara Pak Mail ketika menuturkan kata-kata tersebut. Dia memang sangat benci akan Syazwan. Pantang ada kesilapan sedikit, pasti Syazwan akan dihentamnya cukup-cukup.


Syazwan hanya mendiamkan diri. Kepalanya ditundukkan. Ada air mata suci menitik lewat mata yang sudah kemerahan itu. Hatinya sedih. Sedih sekali kerana kata-kata Pak Mail yang terang-terang menghinanya. Orang-orang kampung yang sedari tadi asyik ketawa turut mendiamkan diri. Terkesan oleh mereka keterlampauan dalam kata-kata yang dituturkan oleh lelaki yang sememangnya terkenal dengan mulutnya yang berbisa. Bisanya mengalahkan mulut perempuan.


Ustaz Zamri segera membawa Syazwan pergi dari tempat itu. Dia sendiri sudah tidak kuasa untuk mendengar celoteh lelaki separuh abad itu. Sudah berbuih mulutnya menasihati orang tua tersebut, namun dia masih tidak mahu berubah. Masih dengan sikapnya yang selalu menghina serta mendiskriminasi jejaka-jejaka muda seperti Syazwan, meskipun pada hakikatnya, dia sepatutnya membantu insan-insan yang mahu berubah seperti Syazwan, bukan malah mematahkan semangatnya. Ustaz Zamri hanya mampu memohon dan meminta pada Allah agar dilembutkan hati sahabatnya itu untuk menerima Syazwan kembali.


Mereka berdua segera menuju ke masjid yang terletak tidak jauh dari warung Pak Mail. Ada kewajipan yang harus dilaksanakan. Kewajipan terhadap Sang Pencipta. Usai solat Zuhur, Ustaz Zamri terus menoleh ke arah Syazwan yang masih mendiamkan diri di sebelahnya. Dilihatnya bibir berwarna gelap itu terkumat-kamit. Ustaz Zamri tersenyum senang. Sesungguhnya, dia tidak pernah meragui kata-kata anak muda itu.


Dia tahu bahawa Syazwan kini sudah benar-benar berubah. Dia yakin. Dia yakin bahawa masih ada secebis harapan buat anak muda itu. Kini, segala-galanya terserah pada dirinya. Dia yang akan memberi sinar kepada harapan itu agar terang di mata Syazwan nanti. Setiap malam, Ustaz Zamri tidak pernah sekalipun lupa untuk mengutus doa kepada Allah buat Syazwan. Doanya agar Syazwan sentiasa diberikan ruang dan kasih di sisi-Nya. Agar Syazwan sentiasa dikuatkan hati untuk bertahan dan terus berubah.


"Wan, aku tahu kau betul-betul dah berubah. Aku yakin pada kau, Wan. Aku berikan seluruh kepercayaan aku pada kau. Jangan kau khianati kepercayaan yang aku berikan itu. Aku tahu masih ada harapan buat kau. Jangan kau jadikan sinar harapan yang terang itu sirna. Percayalah, Wan. Allah masih sayangkan kau." Kata-kata itu benar-benar membuatkan Syazwan tersentuh. Hanya Allah yang tahu betapa dia bersyukur kerana masih ada saudara semuslim yang kasih dan percaya akannya di saat seluruh dunia menentangnya. Dipeluknya erat-erat susuk tua itu. Betapa kasih seorang ayah kuat dia rasakan dalam diri lelaki tua tersebut.


"Mari kita pulang, Wan. Isteri aku dah lama menunggu kita di rumah. Dia pun rindu nak jumpa kau Wan." Perlahan Ustaz Zamri menuturkan kata-kata tersebut.


......................................................................


Dahulunya, Mak Nab langsung tidak ada bezanya dengan orang-orang kampung yang lain. Dia juga benci akan Syazwan. Namun, sikap sabar Ustaz Zamri dalam mendepani karenah isterinya itu benar-benar telah melembutkan hati Mak Nab yang turut dibutakan oleh Syaitan yang sentiasa berusaha untuk memecahbelahkan umat manusia. Syazwan kini dianggap seperti anaknya sendiri. Anak yang dihadirkan Allah untuk menggantikan tempat Rosyam yang telah lama pergi meninggalkan dia dan suaminya. Mak Nab menerima Syazwan apa adanya dia.


......................................................................


Pagi itu, kampung riuh rendah kerana berlaku kekecohan di masjid. Ustaz Zamri terkejut besar apabila melihat Syazwan dipukul dan disepak oleh orang-orang kampung. Dia segera menuju ke tempat kejadian. Langkahnya yang sudah agak terhencut-hencut cuba dilajukan. Berlinang air matanya melihat anak muda itu dipukul sebegitu rupa. Sebagai seorang insan yang telah lama hidup bersama Syazwan, dia turut merasakan kepedihannya ketika itu.


"Astaghfirullahalazim! Berhenti! Berhenti! Apa kena dengan kamu semua ni?! Apa salah budak ni yang kamu semua beria-ia memukulnya?! Dia baru saja pulang semalam. Kamu semua dah nak bunuh dia pulak hari ni?!" Keras sekali nada Ustaz Zamri. Sungguh sakit hatinya melihat Syazwan yang dipukul separuh mati. Lebam seluruh badannya. Ada darah merah mengalir lewat kepala yang luka akibat dihentam teruk dengan kayu.


"Dia ni bawa bala, Ustaz. Duit tabung masjid semua dah hilang. Mesti dia yang curi! Almaklumlah nak mintak duit dengan Ustaz untuk beli benda itu, dia segan. Sebab itu dia mencuri! Kita hantar saja dia ni ke balai Ustaz! Baru saja sampai dah berani buat onar. Memang patut mati saja dulu. Hidup pun menyusahkan orang!" Kata-kata keras itu diiringi oleh satu ludahan kasar. Tepat mengenai muka Syazwan.


"Mana kau orang tahu dia yang curi? Siapa yang pandai-pandai menyebar fitnah ni? Ada orang nampak ke?" Sakit sungguh hati Ustaz Zamri apabila Syazwan difitnah sebegitu.


Ustaz Zamri segera membantu anak muda yang sudah lemah itu. Serban yang ada di kepalanya ditanggalkan. Dilapnya darah yang sudah mengalir deras lewat luka yang agak dalam itu.


"Kita orang bukan cakap sembarangan, Ustaz. Kita orang ada bukti. Lepas solat subuh tadi, dia seorang saja yang ada dekat masjid ni! Siapa lagi yang curi kalau bukan dia Ustaz? Siapa lagi?!" Orang kampung terus-menerus membentak dan membantah setiap hujah-hujah pembelaan yang diutarakan oleh Ustaz Zamri. Kini, kebencian mereka terhadap 'Mat gian' seperti Syazwan semakin memuncak. Jika Ustaz Zamri tidak datang tepat pada masanya, sudah pasti jasad Syazwan yang dipukul teruk itu tidak bernyawa lagi.


"Selagi tidak ada mata yang melihat Syazwan mencuri duit tersebut, selagi itulah kamu semua tidak berhak untuk menuduhnya. Aku tahu, Syazwan memang pernah melakukan kesilapan suatu ketika dahulunya. Oleh sebab itu, kamu semua hilang kepercayaan terhadapnya. Tapi, sekarang dia sudah berubah. Dia bukan lagi Syazwan yang kamu kenal dahulu. Berilah peluang kepadanya untuk berubah. Bantulah dia. Maafkan dia. Sedangkan Nabi pun ampunkan umat, apalagi kita semua, manusia yang sentiasa melakukan kesilapan."


Ustaz Zamri mengalirkan airmata penyesalan. Dia menangis di atas segala kelemahannya yang tidak mampu untuk membantu mereka semua mengubah persepsi terhadap Syazwan. Dia menangis di atas kegagalannya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Dia menangis kerana dia gagal untuk membantu Syazwan sendiri, anak muda yang telah diamanahkan kepadanya suatu ketika dahulu.


......................................................................


Sebulan berada di hospital, benar-benar membuatkan hidup Syazwan tidak keruan. Dia tidak biasa duduk-duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa. Dia ingin sekali kembali ke kampung untuk menolong Ustaz Zamri mengajar anak-anak kecil mengaji di masjid. Syazwan pemuda yang lembut hati. Anak-anak kecil di kampung itu sangat suka akannya. Sungguh pandai Syazwan melayani karenah mereka sehingga mereka sanggup mengikut Syazwan walau ke manapun dia pergi, tetapi, itu semua sudah berlalu.


Sejak dia terperangkap di lembah hina yang tidak berpenghujung itu, tidak ada sesiapapun yang sanggup meletakkan anak-anak mereka di bawah jagaan Syazwan lagi. Mereka tidak mahu anak-anak mereka mengikut jejak langkah Syazwan. Menjadi 'Penagih' dan 'Sampah masyarakat' yang tidak selayaknya hidup di muka bumi ini. Itulah tanggapan mereka terhadap Syazwan sejak Syazwan mula aktif dalam aktiviti terkutuk tersebut. Ustaz Zamri turut terkena tempiasnya. Orang-orang kampung juga sudah mula memandang serong terhadapnya kerana dia rajin sekali membantu pemuda itu.


Syazwan sememangnya pemuda yang baik sejak dari dulu lagi. Semua orang kampung cukup sayang akan Syazwan. Status Syazwan sebagai anak yatim tidak pernah menjadikan dirinya hina pada pandangan mata orang kampung. Cuma, itulah kata orang. Andai sudah terjerat dengan 'benda itu' tidak mungkin ada jalan keluar yang mudah. Buktinya, Syazwan sendiri. Sudah hampir lima kali dia keluar masuk pusat serenti akibat ketagihannya yang tidak terlawan. Betapa Syazwan tersiksa di waktu itu yang pada waktu seperti itu, tidak ada seorang pun yang sanggup menghampirinya kecuali Ustaz Zamri. Dengan penuh kesabaran, Ustaz Zamri cuba membawa Syazwan kembali semula ke pangkal jalan. Ke sana, ke sini Ustaz Zamri mengejar Syazwan yang pada ketika itu sering melarikan diri kerana otaknya yang sudah terganggu kesan daripada dadah yang telah banyak membunuh anak-anak muda di kampung itu.


Mengalir air mata Syazwan apabila teringat akan kisahnya bersama Ustaz Zamri dahulu. Masih dia ingat bagaimana bersungguhnya Ustaz Syazwan memandikannya ketika dia tengah benar-benar 'gian'. 'Gian' sehingga tidak tertolong lagi. Betapa kasihnya Ustaz Zamri kepadanya sehingga dia sanggup berulang-alik ke rumah Syazwan bagi memastikan solat lima waktu Syazwan sentiasa penuh. Setelah itu, Ustaz Zamri sendiri akan membimbing Syazwan ketika membaca Al-Quran. Hampir setiap hari Ustaz Zamri mengulangi rutin yang sama. Tidak pernah sekalipun Syazwan mendengar rungutan keluar daripada bibir yang sentiasa mengucapkan kata-kata peringatan kepadanya dan seluruh umat Islam yang berjemaah di masjid kampungnya.


"Semoga Engkau menempatkan Ustaz Zamri dalam kalangan orang-orang yang berjaya di Akhirat kelak. Tempatkanlah dia di Syurga-Mu Ya Rabb. Rahmati dan berkatilah dia serta seluruh ahli keluarganya."


Mengalir air mata penyesalan Syazwan tatkala dia memanjatkan doa tersebut. Tangan kanan dan kaki kirinya sudah patah akibat terlalu teruk dipukul oleh orang-orang kampung. Sungguhpun begitu, dia tidak sedikitpun menyalahkan orang-orang kampung kerana orang yang hina dan tidak berguna sepertinya sudah selayaknya diperlakukan sebegitu rupa. Andai hukuman seperti itu mampu mengubahnya, dia rela.


......................................................................


Malam itu, usai solat Isya' di masjid, Syazwan masih tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia ingin duduk lebih lama di masjid itu. Sudah hampir sebulan dia tidak ke masjid itu. Rindu sekali dia akan rumah Allah itu. Begitu sejuk dan menenangkan. Hatinya senang berada di situ.


Jam sudah menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam. Syazwan bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Al-Quran yang telah dibaca tadi diletakkan semula ke tempat asalnya. Dia merenung lelangit masjid itu seketika. Terniat juga di hatinya untuk membaiki bumbung yang sudah bocor di sebelah kanannya.


"Mungkin esok sahaja. Sudah agak lewat sekarang. Pasti Ustaz Zamri sudah menungguku di rumah." Sebenarnya, Syazwan ingin sekali menggelar Ustaz Zamri dengan panggilan 'Ayah'. Namun, dia masih merasakan bahawa dirinya masih belum layak memiliki ayah seperti itu. Sebaik dan semulia Ustaz Zamri.


......................................................................


Bekalan elektrik yang terputus secara tiba-tiba membuatkan Syazwan sedikit terkejut. Ada keriuhan di luar masjid. Segera dia berlari ke luar untuk mencari puncanya. Di dalam kepekatan malam, terlihat samar-samar akan dua susuk yang sedang bergelut hebat di atas tanah. Segera dia menghampiri susuk-susuk tersebut.


"Pak Mail!" Bisik keras hati kecilnya. Meskipun daya penglihatannya kurang baik, dia masih mampu mengenali susuk itu. Pak Mail sedang bergelut dengan seorang pemuda. Syazwan segera menerkam ke arah pemuda tersebut. Mereka bertiga bergelut di dalam kepekatan malam. Tidak terlihat oleh sesiapapun.


Dengan tidak semena-mena, terpercik darah panas di wajah Syazwan. Dia terkejut dan tergamam. Tatkala itu juga, bekalan elektrik pulih semula. Orang-orang kampung sudah mula memenuhi perkarangan masjid. Pemuda asing yang disyaki cuba mencuri duit tabung masjid segera dikejar. Sudah agak jauh dia melarikan diri.


Pak Mail sudah kelihatan semakin lemah. Syazwan masih lagi terkejut. Ada darah pekat mengalir lewat dada itu. Pekat dan banyak sekali. Syazwan hampir saja pengsan. Dia tidak pernah melihat darah sebanyak itu seumur hidupnya.


"Syazwan!" Dari jauh Ustaz Zamri terhencut-hencut menerpa ke arahnya. Dada Syazwan yang sudah dibelah parang kelihatan begitu ngeri sekali. Syazwan masih lagi terkejut. Wajah tua Ustaz Zamri sudah kelihatan samar-samar pada pandangannya.


"Ayah..." akhirnya, kalimat agung itu keluar dari mulutnya.


"Pak Mail... Pak Mail..." lemah sekali suara itu. Terputus-putus nadanya.


"Astaghfirullahalazim... sabar nak. Mengucap banyak-banyak... mengucap nak..."


Ustaz Zamri sudah bercucuran air mata. Pak Mail juga segera menerpa ke arah Syazwan dengan tenaga yang masih tersisa.


"Wan! Wan! Ampunkan aku, Wan. Aku berdosa! Aku berdosa!" Pak Mail terus merintih tidak berhenti-henti.


Niatnya pada malam itu untuk menangkap Syazwan yang disyakinya akan mencuri lagi berakhir dengan satu pertumpahan darah. Pertumpahan darah yang meragut maut seorang insan mulia. Syazwan yang selama ini dia fitnah dengan bermacam-macam tuduhan telah menjadi penyelamatnya malam itu. Sungguh dia berasa berdosa kerana telah memfitnah seorang jejaka mulia seperti Syazwan. Air mata penyesalannya berlinangan. Pemuda yang kini sudah tinggal nyawa-nyawa ikan itu dipeluknya erat-erat. Tidak dia mempedulikan lagi Ustaz Zamri yang masih cuba menenangkan Syazwan yang sudah hampir menemui ajalnya itu. Dicium-ciumnya kaki Syazwan. Besarnya dosa dirinya terhadap Syazwan sehingga tidak terampun lagi rasanya.


"Ayah..." Syazwan masih mampu berkata-kata walaupun mulutnya kini sudah dipenuhi darah.


Di sebalik kesedihan yang sudah hampir membunuhnya, Ustaz Zamri masih mampu kelihatan tenang. Kepala Syazwan diusapnya lembut. Diciumnya dahi panas itu. Diucapkan kalimah Syahadat di telinga anak muda itu. Syahadat teragung yang terakhir.


Wajah Pak Mail dipandangnya dengan penuh senyuman. Syazwan mengenggam erat tangan Pak Mail. Sungguh dia selama ini tidak pernah berdendam sedikitpun terhadap orang tua itu. Malah, dia sangat hormat akannya. Kasih akannya.


"Ayah..." bisik Syazwan sambil cuba mengumpul nafas-nafas terakhirnya.


"Terima kasih, ayah. Terima kasih di atas segala-galanya." Sudah hampir habis hembusnya.


Syahadat terakhirnya diucap dengan begitu mudah dan lancar sekali. Matanya dipejam perlahan-lahan. Tenang sekali wajah itu. Setenang wajah anak kecil yang sedang diulit mimpi indah. Pak Mail masih menangis di sisi anak muda itu.


Ustaz Zamri tersenyum senang. Senang melihat ketenangan di wajah anaknya itu. Doanya agar Syurga Firdausi menjadi tempat anak mulia itu. Air mata kasih mengalir di matanya. Jatuh di atas pipi cengkung anak muda itu. Gerimis mula membasahi perkarangan Masjid As-Syafie. Seolah-olah sedang menangisi pemergian anak muda tersebut.

Cinta Dalam Diam

| | 0 comments



Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang, cukup cintai ia dalam diam ...
Kerana diammu adalah salah satu bukti cintamu padanya ...
Kau ingin memuliakan dia, dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang,
Kau tak mahu merosakan kesucian dan penjagaan hatinya..

Kerana diammu memuliakan kesucian diri dan hatimu..
Menghindarkan dirimu dari hal-hal yang akan merosak izzah dan iffahmu ..

Kerana diammu bukti kesetiaanmu padanya ..
Kerana mungkin sahaja orang yang kau cinta adalah juga orang yang telah ALLAH swt pilihkan untukmu ...

Ingatkah kalian tentang kisah Fatimah dan Ali??
Yang keduanya saling memendam apa yang mereka rasakan ...
Tapi pada akhirnya mereka dipertemukan dalam ikatan suci nan indah ....

Kerana dalam diammu tersimpan kekuatan ... kekuatan harapan ...
Hingga mungkin sahaja Allah akan membuat harapan itu menjadi nyata hingga cintamu yang diam itu dapat berbicara dalam kehidupan nyata ...
Bukankah Allah tak akan pernah memutuskan harapan hamba yang berharap pada-Nya??

Dan jika memang 'Cinta Dalam Diammu' itu tak memiliki kesempatan untuk berbicara di dunia nyata, biarkan ia tetap diam ...

Jika dia memang bukan milikmu, Allah, melalui waktu akan menghapus 'Cinta Dalam Diammu' itu dengan memberi rasa yang lebih indah dan orang yang tepat ...

Biarkan 'Cinta Dalam Diammu' itu menjadi memori tersendiri dan sudut hatimu menjadi rahsia antara kau dengan Sang Pemilik hatimu ...

Cintailah ia dalam diam, dari kejauhan, dengan kesederhanaan dan keikhlasan...

Ketika cinta kini hadir tidaklah untuk Yang Maha Mengetahui saat secercah rasa tidak lagi tercipta untuk Yang Maha Pencipta izinkanlah hati bertanya untuk siapa ia muncul dengan tiba-tiba...mungkinkah dengan ridha-Nya atau hanya mengundang murka-Nya...

Jika benar cinta itu kerana Allah maka biarkanlah ia mengalir mengikut aliran Allah kerana hakikatnya ia berhulu dari Allah maka ia pun berhilir hanya kepada Allah..

" Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati kebesaran Allah ." (QS. Adz Dzariyat:49)

" Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas(pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. " (QS. An Nuur: 32)

" Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. " (QS. Ar-Ruum:21)

Tapi jika memang kelemahan masih nyata dipelupuk mata maka bersabarlah... berdo'alah... berpuasalah...

" Wahai kaum pemuda, siapa saja diantara kamu yang sudah sanggup untuk menikah, maka menikahlah, sesungguhnya menikah itu memelihara mata, dan memelihara kemaluan, maka bila diantara kamu belum sanggup untuk menikah, berpuasalah, kerana srsungguhnya puasa tersebut sebagai penahannya " (Hadist) "

" Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. " (QS. Al Israa' :32)

Cukup cintai ia dalam diam...
bukan kerana membenci hadirnya.. .tapi menjaga kesuciannya, bukan kerana menghindari dunia... tapi meraih syurga-Nya, bukan kerana lemah untuk menghadapinya.. .tapi menguatkan jiwa dari godaan syaitan yang begitu halus dan menyelusup..

Cukup cintai ia dari kejauhan...
kerana hadirmu tidak akan mampu menjauhkannya dari cubaan kerana hadirmu hanya akan menggoyahkan iman dan ketenangan, kerana hadirmu mungkin saja akan membawa kenelangsaan hati-hati yang terjaga...

Cukup cintai ia dengan kesederhanaan...
memupuknya hanya akan menambah penderitaan menumbuhkan harapan hanya akan mengundang kekecewaan mengharapkan balasan hanya akan membumbui kebahagiaan para syaitan...

Maka cintailah ia dengan keikhlasan...
kerana tentu kisah Fatimah dan Ali bin Abi Thalib diingini oleh hati... tapi sanggupkah jika semua berakhir seperti sejarah cinta Salman Al Farisi...?

"...boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. " (QS. AlBaqarah:216) "

" Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)" (QS.An Nuur:26) "

Cukup cintai ia dalam diam dari kejauhan dengan kesederhanaan dan keikhlasan...
kerana tiada yang tahu rencana Tuhan... mungkin saja rasa ini ujian yang akan melapuk atau membeku dengan perlahan kerana hati ini begitu mudah untuk dibolak-balikan... serahkankan rasa yang tidak sanggup dijadikan halal itu pada Yang Memberi dan Memilikinya biarkan ia yang mengatur semuanya hingga keindahan itu datang pada waktunya...

" Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga. " (Umar bin Khattab ra.)

Sumber : iluvislam.com

aduhai jodoh...

| | 0 comments

Sejak berkerja ni,macam-macam masalah rumahtangga yang diceritakan pada saya. Masa balajar dikolej,yang selalu didengari tentang rumahtangga ialah tentang rumahtangga orang-orang yang soleh-solehah. Yang mana Allah telah janjikan wanita baik untuk lelaki yang baik dan wanita yang berzina untuk lelaki yang berzina. Jadi dalam pandangan saya tu,bila kita jadi seorang yang solehah pasti akan dapat lelaki yang soleh,zuriat2 yang bertaqwa,rumahtangga yang bahagia,aman damai. Tapi bila masuk ke dalam dunia 'luar' ni. Sebaliknya pulak yang banyak berlaku.jika suaminya seorang yang baik,isterinya pula suka buat perangai Jjika isterinya baik,suaminya pula yang suka buat perangai.Rumahtangga tu memang bukan sesuatu yang mudah untuk di tempuhi dan dijaga dengan baik. Apalagi jika tidak ada ilmu agama yang mantap dalam jiwa. Pasti rumahtangganya goyah.

Baru-baru ni seorang kakak telah meluahkan tekanan perasaan yang dihadapi gara-gara sikap suami yang meletakkan semua perkara di atas bahunya. Sikap suaminya yang kadang-kadang seperti seorang lelaki bujang Tidak ada tanggungjawab. Sudahla berpuasa,penat bekerja,bila balik terus sibuk untuk masak berbuka,mengisahkan kerenah anak2 y masih kecil dan nakal-nakal,angin dan mood suami,manakan nak mengisahkan duit yang tidak pernah cukup untuk anak baranak,sampai keperluan diri sendiri pun terpaksa diabaikan,sampai ke tengah malam masih tidak habis dengan kerja rumah,disambung pulak dengan tugasan-tugasan kerja,baru lelap sekejap,dah kena bangun untuk masak sahur. Setiap waktu dirasakan terlalu singkat,bagaikan kerjanya tidak pernah habis,masalah tidak pernah selesai,tidur dan rehat yang tidak cukup,makan yang tidak kenyang,nafas yang sentiasa tercungap-cungap.

Kadang-kadang saya yang terasa semput melihatkan pergerakan dia yang sentiasa lincah dan kelam kabut. Pelbagai perkara perlu dilakukan dalam satu masa. Sampaikan bila makan pun tidak sempat kunyah habis,pakai telan terus. Timbul rasa simpati dan risau,bagaimana pula nasib saya nanti..?sedangkan seorang wanita yang baik, belajar agama,dididik dengan agama dari kecil,taat kepada orang tuanya mendapat suami yang sebegitu,bagaimana pula dengan saya yang jahil,banyak lagho dan langsung tidak layak digelar wanita solehah..??tinggi harapan untuk hidup bahagia dan mengubah kehidupan ini. Tapi kadang-kadang berasa tidak layak untuk memperolehinya.

Terlihat jelas kepayahan dan kepenatan ibu dalam kehidupan kakak ni. Kerana nasib meraka hampir sama.cuma yang berbeza sedikit,walaupun ibu merasakan kepayahan,dia tetap memanjakan anak2 lelaki sehingga anak-anak lelaki tidak perlu melakukan sebarang kerja. Tidakkah ibu terfikir bagaimana bila anak-anak lelakinya besar nanti dan berkahwin,suami bagaimana yang mereka akan jadi nanti??
Sungguh memberi pengajaran kepada saya untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama nanti..

Aduhai suami..bantulah ringankan beban isterimu yang terlalu banyak dan besar pengorbanannya..

Sultan Muhammad Al- Fateh

| | 0 comments


Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq, "...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, lima kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu kempen di zaman Kerajaan Abbasiyyah dan dua kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.
Dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umaiyyah, seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, "Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi SAW.
Hadis Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" dalam hadis tersebut?

Biodata Ringkas
Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan Konstantinopel.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat baginda mangkat diracun.

Pendidikan
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

Keperibadian
Baginda sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamadan selalu berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara.

Persiapan Awal Membebaskan Konstantinopel
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

Melancarkan Seragan ke atas Konstantinopel
Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raaja Bizantin menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Bizantin habis terbakar dek bedilan meriam Uthmaniyyah. Pertahanan Bizantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW dan bersama-sama berdoa kepada Allah SWT.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Bizantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah hari.

Karisma Seorang Pemimpin
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku".

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al-Fateh" iaitu yang bermaksud "pembuka" atau "penakluk" lantaran kejayaannya membebaskan Konstantinopel.

Sebaik-baik Raja dan Sebaik-baik Tentera
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!" Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.
Dinihari kita cukup ketandusan pemimpin yang berjiwa rakyat serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan ketamadunan dan kegemilanagan ISLAM ini kembali. Ayuh, kita mulakan langkah menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berusaha menakluk kota hebat Konstantinopel.

Ramadhan datang lagi

| | 0 comments

Assalamualakum..

ahlan ya Ramadhan..

sudah terlalu lama menyepi rasanya..bukan menghilangkan diri,bukan tidak ada perkara untuk ditulis,tetapi kekangan masa dan barangkali aku bukan penulis yang baik,jadi tidak pandai menyusun bahasa.cuma kadang-kadang je idea datang,jari pantas menaip,menulis untuk meluahkan apa yang terpendam.kerana hanya dengan menulis aku dapat melepaskan rasa hati.

Ramadhan,sungguh aku merinduimu..juga rindu saat2 itu.saat aku sentiasa merasa nikmat2mu. tahun2 sebelum ni,aku menyambut Ramadhan bersama sahabat2 di kolej.suasana Ramadhan sangat terasa.hampir setiap masa dan hari kami benar2 menikmati & menghayati keindahan Ramadhan.setiap hari melakukan ibadat & pengisian sebanyak mungkin.sehingga terasa Dia begitu hampir disisi..sehingga terasa sedih amat bila Ramadhan melabuhkan tirainya..

Tapi tahun ni sambut Ramadhan dirumah.tidak ada yang istimewa.semuanya seperti biasa.tidak terasa aura Ramdhan selain bila pergi terawih.tidak ada pengisian tazkirah seperti di kolej.tidak ada iftar jama'ie..tidak ada tadarus.tidak mengapa,baru hari ke 2 puasa.hati ini masih berharap dapat menghidupkan Ramadhan.walaupun mungkin Ramadhan tahun ini tidak seindah dulu.Apa pun aku akan usaha sehabis daya menghayati Ramadhan kali ini.kerana belum tentu aku akan dapat bertemu lagi dengannya tahun depan..